Beting Maro terima suntikan RM205 juta melalui 46 projek BDDA

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas menerima cenderahati daripada pihak penganjur Regata Tandang Sari. Foto Douglas Uggah Embas Official

PUSA, 17 Oktober: Sebanyak 46 projek pembangunan dengan nilai keseluruhan RM205 juta sedang dan akan dilaksanakan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi mempercepat pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pelaksanaan projek berkenaan merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk pembangunan infrastruktur, hal ehwal sosial dan wanita, agromakanan, keusahawanan, utiliti serta pelancongan.

Menurut beliau, perancangan pembangunan yang mampan perlu mengambil kira keperluan semasa dan masa depan penduduk agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat.

“Pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan kemudahan asas, malah turut memberi penekanan kepada peluasan peluang ekonomi, peningkatan pendapatan rakyat dan pembentukan komuniti yang lebih sejahtera,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada Majlis Perasmian Regata Tandang Sari 2026 (Edisi Ketiga) di Dataran Tandang Sari, di sini, hari ini.

Dalam usaha memperkukuh jaringan perhubungan, kerajaan turut memberi fokus kepada pembinaan jalan raya dan jambatan yang lebih moden bagi memudahkan pergerakan penduduk serta melancarkan pengangkutan hasil pertanian dan perikanan ke pasaran.

Antara pencapaian penting yang direkodkan termasuk pembukaan Jambatan Batang Saribas 1 pada Julai 2025, Jambatan Sungai Krian pada Mac 2026 dan Jambatan Batang Lupar 1 pada Mei 2026.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa menyaksikan secara.pangsung perlumbaan perahu Regata Tandang Sari. Foto Douglas Uggah Embas Official

Jambatan Batang Saribas 2 di Pusa, sepanjang kira-kira 2.43 kilometer, dijangka dibuka kepada pengguna pada 5 Disember 2026.

Projek berimpak tinggi itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi setempat, selain memperkukuh hubungan antara komuniti di kawasan pesisir.

Kemudahan tersebut juga diyakini mampu membuka akses lebih luas kepada pasaran, menggalakkan pertumbuhan sektor perniagaan serta menarik lebih ramai pelancong dan pelabur ke kawasan Pusa dan sekitarnya.

Pada masa sama, Abang Johari menegaskan kejayaan agenda pembangunan bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan, pemimpin masyarakat, sektor swasta dan penduduk setempat bagi memastikan setiap projek memenuhi keperluan sebenar rakyat.

“Matlamat utama kita adalah memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada rakyat melalui peningkatan taraf hidup, peluang pekerjaan yang lebih luas untuk golongan muda serta kesejahteraan keluarga secara keseluruhan,” katanya.

Pelaksanaan 46 projek bernilai RM205 juta itu merupakan langkah penting ke arah menjadikan Beting Maro sebagai kawasan yang lebih berdaya saing, moden dan berkembang dalam landskap pembangunan Sarawak.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor, dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.

Oleh Adi Safarman