BINTULU, 17 Oktober: Peruntukan sebanyak RM350,000 diluluskan kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi menaik taraf Taman Lalu Lintas Bintulu dalam usaha memperkukuh pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan murid sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kemudahan berkenaan perlu dimanfaatkan secara berterusan sebagai platform pembelajaran praktikal kepada kanak-kanak.
Menurutnya, Taman Lalu Lintas Bintulu bukan sahaja perlu digunakan ketika penganjuran pertandingan, malah boleh dimanfaatkan untuk aktiviti pembelajaran dan program kesedaran keselamatan jalan raya bersama sekolah-sekolah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sarawak Traffic Games (STG) Peringkat Bahagian Bintulu 2026 di Taman Lalu Lintas Bintulu, di sini, hari ini.
Johnny berkata, pendidikan keselamatan jalan raya perlu bermula sejak kecil bagi membentuk generasi pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
Katanya, kanak-kanak juga merupakan pengguna jalan raya walaupun belum mempunyai lesen memandu kerana mereka terlibat sebagai pejalan kaki, penunggang basikal, pembonceng motosikal dan penumpang kenderaan.
Sehubungan itu, beliau berkata pendedahan awal melalui kemudahan seperti taman lalu lintas dapat membantu murid memahami peraturan keselamatan jalan raya dengan lebih berkesan.
Melalui STG, katanya, murid berpeluang mempelajari aspek keselamatan jalan raya secara praktikal, termasuk mengenali papan tanda, lampu isyarat dan lintasan pejalan kaki serta membuat keputusan yang betul ketika berada di jalan raya.
Beliau turut menggalakkan peserta menjadi duta kecil keselamatan jalan raya dengan berkongsi ilmu yang dipelajari bersama ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan.
Menurutnya, golongan dewasa juga perlu menunjukkan teladan yang baik kerana kanak-kanak bukan sahaja belajar melalui nasihat, tetapi turut mencontohi tindakan yang dilihat setiap hari.
Dalam pada itu, Johnny berkata perkembangan Bintulu sebagai pusat perindustrian dan ekonomi penting meningkatkan keperluan untuk memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya.
Katanya, pertambahan kenderaan dan kesibukan lalu lintas memerlukan pembangunan infrastruktur jalan raya disokong oleh pendidikan, kesedaran serta disiplin dalam kalangan semua pengguna.
Beliau berharap penambahbaikan Taman Lalu Lintas Bintulu dapat memberi manfaat kepada lebih ramai murid, selain menjadi kemudahan berterusan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya sejak usia muda.
Johnny turut berharap STG akan terus berkembang dan melibatkan lebih ramai murid pada masa hadapan.
“Kita tidak mahu menunggu sehingga berlaku kemalangan, barulah kita bercakap tentang keselamatan jalan raya.
“Kita mahu mendidik anak-anak kita hari ini supaya mereka menjadi pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab pada masa hadapan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan jalan raya bukan sekadar mematuhi peraturan, tetapi turut melibatkan tanggungjawab melindungi nyawa sendiri dan orang lain.
Oleh Faizah Muzidi





