Media main peranan penting tingkat pematuhan cukai negara – HASiL

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Abu Tariq Jamaluddin berucap pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Negeri Sarawak 2026 di Kuching.

KUCHING, 16 Oktober: Media memainkan peranan penting dalam meningkatkan pematuhan cukai negara menerusi penyebaran maklumat dan penerangan mengenai pelbagai inisiatif percukaian kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, kerjasama media membantu memastikan kutipan cukai negara berada pada tahap sepatutnya.

“Penerangan yang disampaikan media mengenai inisiatif kerajaan turut membantu rakyat memahami tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.

RAKAMAN gambar kenangan bersama pihak HASiL pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Negeri Sarawak 2026 di Kuching.

“Saya percaya hubungan baik antara HASiL dan media sangat penting kerana peranan tuan-tuan dan puan-puan dalam menyebarkan maklumat percukaian kepada rakyat adalah satu tanggungjawab yang sangat besar.

“Penjelasan yang diberikan terhadap apa jua inisiatif kerajaan telah membantu memberi penerangan kepada rakyat ataupun pembayar cukai untuk membayar cukai yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Negeri Sarawak 2026, di sini, malam ini.

Abu Tariq berkata, sumbangan media turut membantu HASiL mencapai kutipan cukai yang baik pada 2025 apabila jumlah kutipan negara buat pertama kalinya melebihi RM200 bilion.

“Kejayaan itu boleh dikongsi bersama pengamal media yang memainkan peranan besar dalam memastikan pematuhan cukai secara sukarela terus meningkat.

“Media juga banyak membantu memberi liputan terhadap pelaksanaan sistem taksiran sendiri bagi duti setem dan cukai keuntungan harta tanah serta pelaksanaan e-Invois yang menjadi antara fokus HASiL sepanjang 2026,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, liputan media terhadap operasi pematuhan HASiL di Sarawak turut membantu menggalakkan pematuhan dalam kalangan pembayar cukai, khususnya mereka yang menghadapi masalah mematuhi peruntukan percukaian.

Abu Tariq turut berharap media terus membantu menyebarkan maklumat mengenai program HASiL termasuk Bulan HASiL yang berlangsung sepanjang Oktober serta seminar percukaian berkaitan Belanjawan 2027 yang dijadualkan secara dalam talian pada 21 Oktober ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media Sarawak atas sokongan, kerjasama dan liputan terhadap aktiviti HASiL serta berharap hubungan baik itu dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan kutipan cukai berterusan untuk pembangunan negara.talian pada 21 Oktober ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media Sarawak atas kerjasama dalam membuat liputan aktiviti HASiL serta berharap hubungan baik itu dapat diteruskan bagi memastikan kutipan cukai berterusan untuk pembangunan negara.

Oleh Masrin Affirah