MBKS raih pengiktirafan Bandar Pelancongan Bersih ASEAN kali ketiga berturut-turut

Facebook
WhatsApp
PENGIKTIRAFAN…Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menunjukkan sijil dan plak pengiktirafan Standard Bandar Pelancongan Bersih ASEAN 2026–2028 yang diterima MBKS buat kali ketiga berturut-turut.

KUCHING, 16 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sekali lagi menerima pengiktirafan Standard Bandar Pelancongan Bersih ASEAN bagi tempoh 2026 hingga 2028 di peringkat kebangsaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Pengiktirafan itu merupakan pencapaian kali ketiga berturut-turut selepas MBKS menerima anugerah sama bagi tempoh 2022 hingga 2024 dan 2024 hingga 2026.

Pencapaian tersebut membuktikan MBKS terus memenuhi piawaian pelancongan ASEAN yang ditetapkan, khususnya dalam aspek kebersihan dan penyelenggaraan persekitaran bandar.

Pengiktirafan berkenaan sah selama tiga tahun bermula 2026 hingga 2028, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan MBKS dalam memastikan Kuching kekal bersih, selesa dan mesra pengunjung.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama penduduk, komuniti perniagaan, pertubuhan masyarakat serta kakitangan MBKS dalam mengekalkan kebersihan bandar raya.

Menurutnya, usaha menjaga kebersihan memerlukan kerjasama berterusan semua pihak, termasuk mengamalkan pembuangan sampah secara teratur, menggunakan kemudahan awam secara bertanggungjawab serta memelihara kawasan yang dikongsi bersama.

Dalam pada itu, pengiktirafan tersebut turut melengkapi status Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Persekitaran bandar yang bersih dan terurus mampu meningkatkan pengalaman pelancong ketika mengunjungi pusat makanan, pasar serta premis perniagaan, di samping menyokong perkembangan industri makanan dan pelancongan tempatan.

Sehubungan itu, MBKS akan terus mempertingkatkan tahap kebersihan dan kemudahan awam serta menggalakkan penyertaan masyarakat bagi memastikan piawaian berkenaan terus dikekalkan.

Usaha tersebut juga bertujuan memperkukuh daya tarikan Kuching sebagai destinasi pelancongan dan gastronomi.