MBKS utamakan keselamatan murid, laksana audit bersama di SJK Bintawa

Facebook
WhatsApp
PEMERIKSAAN…Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng meninjau keadaan bumbung yang mengalami kebocoran ketika audit keselamatan bersama di SJK Bintawa, Kuching.

KUCHING, 16 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) melaksanakan audit keselamatan bersama di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Bintawa bagi mengenal pasti risiko serta memastikan persekitaran sekolah lebih selamat dan selesa untuk murid.

Audit berkenaan diketuai Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng bersama pegawai MBKS dan wakil pihak sekolah.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa aspek infrastruktur memerlukan perhatian, termasuk pemasangan penutup longkang di sepanjang kawasan sekolah serta pembaikan bumbung yang mengalami kebocoran.

Langkah penambahbaikan itu penting bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan keselamatan murid sentiasa terpelihara.

Selain itu, perhatian khusus turut diberikan kepada keperluan murid di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi memastikan kemudahan sekolah selamat dan mudah diakses.

Wee berkata, keselamatan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan dengan sebarang risiko dikenal pasti dan ditangani sebelum berlakunya kejadian tidak diingini.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu mempunyai keyakinan bahawa anak-anak mereka berada dalam persekitaran yang selamat sepanjang berada di sekolah.

“Sebarang isu keselamatan, sama ada longkang tidak bertutup atau bumbung bocor, perlu diberi perhatian serius dan ditangani melalui kerjasama semua pihak,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keperluan murid PPKI perlu diambil kira dalam setiap perancangan penambahbaikan infrastruktur supaya semua murid dapat bergerak dengan selamat dan selesa.

Audit bersama itu dilaksanakan selaras dengan Pelan Tindakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) MBKS 2026 hingga 2028 yang merangkumi audit keselamatan sekolah serta penambahbaikan infrastruktur bagi melindungi kanak-kanak.

Sehubungan itu, MBKS akan mengadakan tindakan susulan bersama pihak sekolah dan agensi berkaitan bagi menyelaras langkah penambahbaikan yang diperlukan.