Kaedah tangkap ikan tidak terkawal ancam ekosistem sungai

Facebook
WhatsApp
KAKITANGAN Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu melepaskan benih ikan baung ke Sungai Sap, Tatau, menerusi Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum bagi memelihara sumber perikanan sungai.

TATAU, 16 Oktober: Amalan penangkapan ikan yang tidak terkawal boleh menjejaskan populasi hidupan akuatik dan keseimbangan ekosistem sungai, sekali gus memerlukan kesedaran serta kerjasama masyarakat dalam memelihara sumber perikanan.

Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu, Jackson Nanta berkata, penggunaan kaedah penangkapan ikan yang dilarang, termasuk tuba atau racun, bahan letupan dan renjatan elektrik, boleh merosakkan habitat serta mengancam kelangsungan hidupan akuatik.

Menurutnya, masyarakat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang dibenarkan bagi memastikan sumber perikanan dapat dimanfaatkan secara berterusan.

“Usaha menjaga kebersihan sungai dan memelihara habitat hidupan akuatik perlu menjadi tanggungjawab bersama kerana sungai bukan sahaja sumber makanan, malah turut menyumbang kepada pendapatan dan kehidupan masyarakat setempat,” katanya.

TAKLIMAT mengenai penguatkuasaan dan larangan kaedah penangkapan ikan yang merosakkan ekosistem sungai disampaikan kepada peserta sempena Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum di Tatau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu di Sungai Sap di sini, semalam.

Menerusi program itu, sebanyak 830 benih ikan baung dilepaskan ke sungai berkenaan sebagai usaha menambah stok ikan dan menyokong pemuliharaan sumber perikanan.

Program itu turut merangkumi taklimat mengenai penangkapan ikan secara terlarang serta aspek penguatkuasaan dan peruntukan di bawah Ordinan Perikanan Negeri 2003.

Jackson berharap inisiatif seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melindungi ekosistem sungai demi memastikan sumber semula jadi berkenaan terus dinikmati generasi akan datang.

Oleh Carolyne Utih