PETRA JAYA, 16 Oktober: Ancaman hakisan tebing Sungai Batang Lupar terhadap jalan utama dari Kampung Agropolitan Seduku dengan Pekan Lingga memerlukan perhatian segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) berkata, keadaan jalan sepanjang 31.3 kilometer itu semakin membimbangkan berikutan arus deras Sungai Batang Lupar yang dikhuatiri menyebabkan hakisan semakin menghampiri jalan utama.

Menurutnya, keadaan lebih kritikal di Kilometer 4.2 dari Kampung Agropolitan Seduku menuju ke Lingga apabila jarak antara sungai dengan jalan utama dianggarkan hanya 10 hingga 15 meter.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembinaan perlindungan tebing sungai sepanjang dua kilometer di lokasi berkenaan sebagai menangani hakisan.
Beliau turut mencadangkan pembinaan jalan alternatif baharu dari Agropolitan Seduku ke Lingga bagi penyelesaian jangka panjang sekiranya jalan sedia ada terus terancam.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan penduduk terhadap hakisan pantai di Tanjung Riong, Maludam, serta hakisan tebing sungai dari Seduku hingga Lingga.
Mengenai Projek Perlindungan Hakisan Pantai Tanjung Riong, beliau berkata, projek berkenaan terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan difahamkan sedang menuju ke peringkat pelaksanaan selepas proses pelantikan pihak pelaksana selesai.

Bagaimanapun, beliau meminta agensi bertanggungjawab mempenjelas status pelantikan, garis masa permulaan kerja dan jadual penyiapan projek bagi memberikan kepastian kepada penduduk yang terjejas.
Beliau turut menekankan kepentingan pemantauan rapi serta penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak bagi memastikan projek mematuhi spesifikasi teknikal dan mengambil kira risiko di tapak.
Oleh Shikin Mahmud





