Sarawak tingkat dana sekolah mubaligh kepada RM30 juta, RM10 juta khusus STEM

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan Sesi Penyampaian Cek Bantuan Dana Sekolah Mubaligh Sarawak Tahun 2026 Fasa 1 di Pejabat Timbalan Premier Sarawak, Bangunan DUN Sarawak. Foto: Pejabat Timbalan Premier Sarawak

PETRA JAYA, 16 Oktober: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pendidikan terus diperkukuh apabila peruntukan Bantuan Dana Sekolah Mubaligh ditingkatkan sebanyak RM10 juta kepada RM30 juta tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada sekolah mubaligh di seluruh negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peningkatan peruntukan itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan institusi pendidikan terbabit memiliki kemudahan yang lebih baik serta mampu memperkasa pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan RM30 juta itu, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi pembangunan fizikal sekolah, manakala RM10 juta lagi disalurkan untuk pelaksanaan projek-projek STEM.

“Tahun ini merupakan tahun keenam kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan dana kepada sekolah mubaligh. Penambahan peruntukan ini bertujuan memperkukuh kemudahan sekolah serta meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sesi Penyampaian Cek Bantuan Dana Sekolah Mubaligh Sarawak Tahun 2026 Fasa 1 di Pejabat Timbalan Premier Sarawak, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Bagi Fasa 1 tahun ini, sebanyak 129 cek bernilai RM20 juta telah diluluskan untuk diagihkan kepada sekolah mubaligh menerusi enam pihak badan pentadbiran sekolah mubaligh  (Mission Authorities).

Uggah turut mengingatkan pihak badan pentadbiran sekolah mubaligh supaya memastikan semua cek atau selewat-lewatnya pada 22 Disember depan bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan projek pembangunan.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa maklumat mengenai bantuan kerajaan negeri perlu disampaikan secara meluas kepada pihak pengurusan sekolah, guru dan ibu bapa agar mereka memahami komitmen berterusan kerajaan dalam memajukan sektor pendidikan.

“Bukan sahaja bantuan itu perlu sampai kepada sekolah, malah maklumat mengenainya juga mesti diketahui oleh guru dan ibu bapa. Mereka harus sedar bahawa kerajaan Sarawak sentiasa komited membantu pembangunan sekolah mubaligh demi masa depan pendidikan anak-anak Sarawak,” katanya.

Beliau berharap bantuan tersebut dapat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran, memperkasa potensi murid serta melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing sejajar dengan aspirasi pembangunan Sarawak.

Daripada jumlah peruntukan yang diluluskan pada Fasa 1, Anglican Diocese of Kuching menerima jumlah tertinggi, iaitu RM7.752 juta melalui 50 cek, diikuti Roman Catholic Archdiocese of Kuching sebanyak RM4.961 juta melalui 32 cek dan Roman Catholic Diocese of Sibu sebanyak RM3.566 juta menerusi 23 cek.

Sementara itu, Roman Catholic Diocese of Miri menerima RM1.085 juta menerusi tujuh cek, Methodist Sarawak Iban Annual Conference (SIAC) sebanyak RM1.240 juta menerusi lapan cek dan Methodist Sarawak Chinese Annual Conference (SCAC) menerima RM1.395 juta melalui sembilan cek.

Peningkatan peruntukan itu mencerminkan usaha strategik kerajaan Sarawak untuk memastikan sekolah mubaligh terus memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan berkualiti serta menyokong agenda transformasi pendidikan negeri.

Oleh Adi Safarman