PETRA JAYA, 16 Oktober: Peserta program Latihan Kemahiran Vokasional Wanita (WST) tidak dikenakan sebarang bayaran kerana program itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus berkata, peralatan dan bahan latihan turut disediakan kepada peserta sepanjang program berlangsung.

Bagaimanapun, katanya, peserta perlu menanggung sendiri kos pengangkutan pergi dan balik ke tempat latihan serta perbelanjaan peribadi sepanjang tempoh program.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Mengenai Geran Pemerkasaan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Rosey berkata, pertubuhan di kawasan berkenaan boleh mengemukakan permohonan bagi melaksanakan program yang memenuhi keperluan wanita dan komuniti setempat.
“Antara bidang yang boleh dipertimbangkan ialah pembangunan ekonomi, kekeluargaan, kepimpinan, advokasi dan keselamatan wanita”, ujarnya.
Beliau berkata, cadangan program perlu selaras dengan misi jabatan, mengambil kira isu serta keperluan sebenar kumpulan sasaran, selain mempunyai matlamat dan hasil yang jelas.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memastikan kerjasama antara jabatan dengan NGO dilaksanakan secara terancang dan berfokus, sekali gus memperkukuh usaha pemerkasaan wanita, kesejahteraan keluarga serta pembangunan komuniti di Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud




