DUN: Azizul Annuar mahu bekalan elektrik dan liputan telekomunikasi Lundu dipertingkat

Facebook
WhatsApp
AZIZUL Annuar Pehin Sri Adenan (GPS-Tanjong Datu) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan DUN Ke-19, hari ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA, 16 Oktober: Gangguan bekalan elektrik dan masalah liputan telekomunikasi yang berterusan di Lundu, Sampadi dan Sematan memerlukan perhatian serius bagi memastikan kelancaran aktiviti ekonomi serta kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.

Azizul Annuar Pehin Sri Adenan (GPS-Tanjong Datu) berkata, gangguan bekalan elektrik dan kejatuhan voltan yang tidak menentu menjejaskan sektor kesihatan, pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, gangguan elektrik boleh menjejaskan penyimpanan ubat-ubatan di klinik, operasi loji rawatan air serta kemudahan penginapan seperti resort dan inap desa.

Beliau berkata, pengusaha hasil laut dan pemilik bilik sejuk turut berdepan risiko kerugian apabila barangan jualan rosak akibat gangguan bekalan elektrik.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembinaan Pencawang Utama Pembahagian (PUP) baharu berkapasiti tinggi di Lundu bagi membantu menstabilkan voltan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik.

Beliau turut mencadangkan pemasangan janakuasa tunggu sedia di Loji Rawatan Air Lundu dan Hospital Lundu bagi memastikan operasi kemudahan penting itu dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Selain itu, beliau meminta penyelenggaraan dan pembersihan dahan pokok berhampiran jajaran kabel elektrik dipertingkat, terutama di kawasan berhutan yang terdedah kepada angin kencang.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Dalam isu telekomunikasi pula, Azizul Annuar berkata, masih terdapat penempatan luar bandar dan pesisir di Lundu yang mengalami masalah liputan internet, termasuk kawasan yang hanya menerima isyarat telefon di luar rumah.

Katanya, capaian internet yang tidak konsisten dan gangguan talian selular menyukarkan urusan usahawan, pembelajaran murid serta kemudahan kepada pelancong, khususnya ketika kerajaan menggalakkan penggunaan perkhidmatan digital dan transaksi tanpa tunai.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau menggesa operasi menara telekomunikasi di bawah inisiatif berkaitan dipercepatkan, termasuk memastikan menara yang telah siap dibina dilengkapi perkhidmatan penyedia telekomunikasi.

Beliau turut mencadangkan supaya syarikat telekomunikasi menyediakan bateri sandaran atau panel solar di menara pemancar bagi memastikan perkhidmatan tidak terputus apabila berlaku gangguan bekalan elektrik.

Selain itu, pembinaan menara tambahan dicadangkan di kawasan tumpuan pelancongan dan kampung pesisir seperti Pantai Abang, Kayan dan Sampadi.

Mengulas lanjut, penambahbaikan bekalan elektrik dan telekomunikasi penting bagi menyokong potensi Lundu sebagai hab pelancongan, perikanan dan pertanian, selain memastikan penduduk menikmati kemudahan asas yang lebih stabil.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memberi keutamaan kepada Daerah Lundu dalam perancangan pembangunan dan pelaksanaan langkah penambahbaikan berkaitan.

Oleh Shikin Mahmud