LUBOK ANTU, 15 Oktober: Keprihatinan terhadap nasib masyarakat yang berdepan kehilangan insan tersayang terus dizahirkan apabila HCafe tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga mendiang Timothy Dampa Sandom yang meninggal dunia baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh wakil pemilik HCafe, Huang Huat Khai, iaitu Ethan Huang Qi Sheng, kepada bapa mendiang dalam satu kunjungan yang berlangsung di Rumah Budit, Nanga Beretik, Lubok Antu, hari ini.
Inisiatif berkenaan memperlihatkan keprihatinan HCafe terhadap kebajikan masyarakat setempat, khususnya keluarga yang sedang melalui saat sukar susulan kehilangan ahli keluarga tersayang.
Selain sumbangan kewangan, HCafe turut menyampaikan bantuan berupa air minuman serta barangan keperluan harian bagi membantu memenuhi keperluan keluarga mendiang dalam tempoh berkenaan.
Sumbangan tersebut diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga mendiang, sekali gus membantu meringankan beban yang ditanggung ketika menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.
Huang Huat Khai turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang atas pemergian Timothy Dampa Sandom.
Beliau berharap agar sumbangan yang disampaikan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh keluarga mendiang, selain menjadi tanda keprihatinan dan sokongan kepada mereka yang sedang berduka.
Pada masa yang sama, beliau berharap keluarga mendiang diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran untuk menghadapi dugaan tersebut serta meneruskan kehidupan selepas kehilangan insan yang disayangi.
Oleh Adi Safarman




