JKR Sarawak turun padang pantau projek jalan utama di Sri Aman

Facebook
WhatsApp
JKR Sarawak turun padang bersama pasukan projek untuk meninjau sendiri perkembangan beberapa projek infrastruktur utama di Bandar Simanggang. Foto: JKR Sarawak

SIMANGGANG, 15 Oktober: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak terus memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek infrastruktur di Bahagian Sri Aman bagi memastikan kemajuan kerja dipertingkatkan, isu di tapak ditangani dan kemudahan jalan raya dapat dinikmati rakyat dengan lebih baik.

Menurut kenyataan JKR Sarawak, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris, hari ini turun padang bersama pasukan projek untuk meninjau sendiri perkembangan beberapa projek infrastruktur utama di kawasan berkenaan.

Antara projek yang diberi perhatian ialah pembinaan jalan lingkaran baharu menuju ke Jambatan Batang Lupar 2 serta kerja-kerja menaik taraf jalan utama di sekitar Bandar Simanggang.

Lawatan itu bukan sekadar menilai kemajuan fizikal projek, malah turut memberi tumpuan kepada penyelesaian isu dan cabaran yang timbul di tapak bagi membantu melancarkan pelaksanaan kerja serta mempercepatkan kemajuan projek.

JKR Sarawak memahami harapan masyarakat Sri Aman yang menginginkan kemudahan jalan raya lebih baik, selamat dan selesa, selaras dengan keperluan pembangunan serta peningkatan pergerakan penduduk di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan turut menghargai setiap teguran, rungutan dan maklum balas masyarakat, termasuk yang disampaikan melalui media sosial, sebagai input penting untuk mengenal pasti kelemahan serta melaksanakan penambahbaikan.

Menurut kenyataan itu, suara rakyat bukan sekadar untuk didengar, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang bersesuaian demi meningkatkan mutu pelaksanaan projek dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

JKR Sarawak juga mengakui bahawa pelaksanaan projek pembangunan boleh menimbulkan kesulitan kepada penduduk setempat, justeru pemantauan akan terus diperkukuh manakala tindakan susulan diberi perhatian bagi memastikan kemajuan kerja dapat ditingkatkan.

Dalam pada itu, JKR Sarawak merakamkan penghargaan kepada masyarakat Sri Aman atas kesabaran, sokongan dan keprihatinan mereka sepanjang tempoh pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan.

Jabatan itu menegaskan bahawa setiap projek yang dilaksanakan bukan sekadar pembinaan kemudahan fizikal, tetapi merupakan amanah dan tanggungjawab untuk menyediakan infrastruktur berkualiti demi kesejahteraan rakyat.

Usaha berterusan itu diharap dapat menyokong pembangunan Sri Aman, meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya serta memberikan manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.

Oleh Adi Safarman