PETRA JAYA, 15 Oktober: Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi baki tempoh persidangan selepas usul penggantungan yang dikemukakan Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin diluluskan Dewan hari ini.

Usul itu dikemukakan susulan dakwaan bahawa Chong membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan, mengulangi dakwaan yang tidak dapat disahkan serta menggunakan bahasa yang dianggap menghina dan membayangkan motif tidak wajar terhadap anggota Dewan ketika perbahasan Belanjawan Sarawak 2027.
Dalam membentangkan usul berkenaan, Lee berkata hak setiap wakil rakyat untuk bersuara, bertanya, berbeza pendapat dan meneliti tindakan kerajaan perlu dihormati, namun mesti dilaksanakan dengan mematuhi Peraturan Tetap Dewan.
“Setiap ahli Dewan mempunyai hak untuk bercakap, bertanya, tidak bersetuju dan mengkritik kerajaan. Ini merupakan ciri penting demokrasi berparlimen dan mesti dihormati.
“Bagaimanapun, hak tersebut turut disertai tanggungjawab. Setiap ahli mesti mematuhi Peraturan Tetap, menghormati kewibawaan Yang Dipertua dan berhati-hati ketika membuat kenyataan serta tuduhan di dalam Dewan,” katanya.
Lee berkata usul itu merujuk kepada kenyataan Chong pada 13 Oktober yang didakwa mengelirukan Dewan berhubung isu kesilapan penomboran halaman dalam dokumen Belanjawan Sarawak 2027.

Usul berkenaan turut mengambil kira tingkah laku Chong ketika perbahasan belanjawan pada 14 Oktober, termasuk pengulangan maklumat dan dakwaan yang menurut usul itu tidak dapat disokong dengan pengesahan atau justifikasi apabila diminta oleh Yang Dipertua.
Lee turut merujuk kepada Peraturan Tetap 32(4), 32(6), 32(10)(b) dan 32(12) yang dinyatakan dalam usul sebagai peruntukan yang didakwa telah dilanggar.
Menurutnya, tindakan disiplin perlu dipertimbangkan bagi memelihara kewibawaan Yang Dipertua serta memastikan perbahasan dalam Dewan berlangsung secara tertib.
“Jika Dewan mendapati perlakuan tersebut terbukti, saya berpendapat penggantungan bagi baki tempoh persidangan adalah wajar bagi mempertahankan kewibawaan Yang Dipertua dan standard yang perlu dihormati dalam Dewan ini,” katanya.
Usul itu kemudian disokong oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, sebelum Speaker DUN membuka ruang kepada ahli Dewan untuk membahaskan usul berkenaan mengikut Peraturan Tetap 31(8)(a).
Oleh Shahrul Qaizat





