KUCHING, 15 Oktober: Sebanyak 759 kenderaan pelbagai jenis diperiksa, manakala lapan lagi disita dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di sekitar Kuching.
JPJ Sarawak menerusi kenyataan semalam memaklumkan, operasi yang dilaksanakan Unit Operasi JPJ Kuching itu melibatkan Ops HID/LED, Ops Luxury dan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di Jalan MJC–Batu Kawa serta Jalan Batu Kawa–Kuching.

Menurut kenyataan itu, antara kesalahan yang dikesan ialah termasuk memandu tanpa lesen, lesen memandu tamat tempoh, penggunaan lampu HID/LED serta tidak mematuhi tali pinggang keledar.
Selain itu, kesalahan lain termasuk penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan pelbagai kesalahan teknikal kenderaan.
Daripada lapan kenderaan yang disita, sebuah merupakan kenderaan mewah kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans tamat tempoh.

Turut disita ialah sebuah kenderaan pikap yang dipandu warga asing tanpa lesen memandu, selain sebuah motokar dan lima motosikal kerana melakukan pengubahsuaian ekstrem yang melanggar peraturan ditetapkan.
JPJ Sarawak menegaskan semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Jabatan itu akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.




