15 individu positif syabu dalam operasi bersepadu SJR di Sibu

Facebook
WhatsApp
PEMERIKSAAN... Operasi bersepadu di Sibu mengesan 15 individu positif syabu hasil saringan air kencing terhadap 84 individu, malam kelmarin. Foto AADK Daerah Sibu

SIBU, 15 Oktober: Seramai 15 individu didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) dalam Operasi Bersepadu Sekatan Jalan Raya (SJR) Bilangan 7 Tahun 2026 di sini, malam kelmarin.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, seramai 84 individu diperiksa dalam operasi berkenaan, dengan 15 daripadanya didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing.

Operasi itu turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Sibu.

SJR bersasar berkenaan dihadiri Ketua Daerah AADK Sibu, Mohamad Farizal Mohamad Buang, dengan penekanan terhadap pematuhan undang-undang, akauntabiliti dan pendekatan sifar toleransi terhadap penyalahgunaan dadah, khususnya dalam sektor pengangkutan perdagangan.

Menurut AADK, saringan turut memfokuskan kenderaan perdagangan dan persendirian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain sentiasa terpelihara.

Operasi itu juga bertujuan memperhebat penguatkuasaan terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh dadah atau bahan terlarang sehingga boleh membahayakan nyawa orang awam.

AADK menegaskan keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan pihaknya tidak akan berkompromi dalam memastikan pemandu bebas daripada pengaruh dadah.

Turut hadir Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Cawangan Sibu, Mohd Ariffin Zaini dan Ketua Unit Penguatkuasa JIM Cawangan Sibu, Sapura Let.

Oleh Akun Giman

Penipuan pelaburan, lelaki rugi RM28,750

SERIAN, 14 Oktober: Polis mengesahkan menerima satu laporan daripada pengadu berhubung kes penipuan pelaburan yang menyebabkan seorang mangsa mengalami kerugian