DUN: 11 entiti terlibat perdagangan kredit karbon hutan Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Len Talif Salleh ketika menjawab soalan Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) dan Dr Safiee Ahmad (GPS-Daro) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.

PETRA JAYA, 15 Oktober: Sebanyak 11 entiti terlibat dalam aktiviti perdagangan kredit karbon hutan di Sarawak, dengan tiga daripadanya sudah memperoleh Lesen Karbon Hutan melibatkan kawasan seluas 56,806 hektar.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, lapan entiti lagi diberikan Permit Kajian Karbon yang melibatkan kawasan seluas 179,327 hektar.

Menurutnya, berdasarkan Kaedah-Kaedah Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) 2022, aktiviti perdagangan kredit karbon hutan hanya boleh dilaksanakan selepas entiti memperoleh Lesen Karbon Hutan.

“Daripada tiga lesen berkenaan, satu lesen sedang melalui proses validasi oleh badan validasi dan verifikasi yang diiktiraf di bawah piawaian karbon antarabangsa, manakala dua lesen lagi baru sahaja diluluskan kepada pelesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.

Beliau berkata, Permit Kajian Karbon membolehkan pemegang permit menjalankan kajian dan menyediakan Dokumen Reka Bentuk Projek Sarawak (SPDD) sebagai antara keperluan untuk mendapatkan Lesen Karbon Hutan.

Menjawab soalan tambahan mengenai tempoh kredit karbon hutan dapat dijana selepas lesen dikeluarkan, Len Talif menjelaskan bahawa setiap projek perlu melalui dua peringkat utama, iaitu validasi dan verifikasi berdasarkan piawaian karbon antarabangsa.

Katanya, selepas melepasi proses verifikasi, projek berkenaan akan menerima pensijilan yang membolehkan kredit karbon hutan dijana secara rasmi.

“Kredit ini kemudiannya boleh didaftarkan dalam sistem pasaran karbon dan didagangkan kepada pembeli di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Pada peringkat ini, projek akan mula menjana nilai ekonomi sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat setempat berpeluang memperoleh manfaat secara langsung daripada pelaksanaan projek karbon hutan, khususnya melalui penyediaan peluang pekerjaan dan program pembangunan kapasiti oleh pemaju projek.

Antara peluang ekonomi yang boleh diwujudkan termasuk perkhidmatan penyewaan bot serta penyediaan tenaga kerja bagi menyokong pelaksanaan aktiviti projek.

Komuniti setempat juga berpeluang mengikuti latihan teknikal merangkumi penanaman semula hutan, pengurusan nurseri anak pokok, inventori hutan, penilaian biojisim serta pengurusan sumber semula jadi secara lestari.

Menurutnya, program berkenaan dijangka meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman praktikal komuniti dalam pengurusan projek karbon hutan, selain membuka ruang kepada peningkatan pendapatan serta peluang ekonomi yang lebih mampan.

Beliau menegaskan bahawa penglibatan komuniti merupakan elemen penting dalam pelaksanaan projek karbon hutan, dengan piawaian karbon antarabangsa mensyaratkan pemaju menjalinkan kerjasama dengan komuniti dan pihak berkepentingan.

Katanya, langkah perlindungan sosial juga perlu dimasukkan dalam SPDD dan akan disemak oleh badan validasi dan verifikasi sepanjang proses validasi projek.

Sementara itu, menjawab soalan daripada Dr Safiee Ahmad (GPS-Daro), mengenai projek karbon biru, beliau memaklumkan bahawa satu Permit Kajian Karbon telah dikeluarkan bagi pelaksanaan projek berkenaan, tidak termasuk kawasan Paloh dan Serdeng.

Bagaimanapun, katanya, tiada permohonan diterima setakat ini bagi kawasan Daro.

Oleh Shahrul Qaizat