SARATOK, 15 Oktober: Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 0.6 meter berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok selepas ditemui bersembunyi di belakang sebuah almari di Tembawai Pok, semalam.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 10.53 malam, yang memaklumkan mengenai kelibat ular di belakang almari di lokasi berkenaan.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, anggota Skuad Bravo APM Saratok bergerak ke lokasi pada 10.55 malam dan tiba tujuh minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, ketua skuad memastikan semua anggota memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum operasi menangkap ular dimulakan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat seekor ular sawa batik di belakang almari seperti yang dilaporkan pengadu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi melibatkan tiga anggota APM Saratok, iaitu Pembantu Pertahanan Awam Domsen Enggul Mota, Stanley Reammy Steven dan Muhammad Zul Sidi.
Ular berkenaan berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit dengan bantuan peralatan khas, termasuk penyepit ular dan penjerut.
Operasi yang bermula selepas panggilan kecemasan diterima itu selesai pada 11.12 malam, dengan jarak perjalanan sehala kira-kira tujuh kilometer.
Kejadian itu sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila menemui haiwan berbisa atau reptilia liar di dalam rumah atau kawasan kediaman.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuba menangkap atau mengendalikan ular sendiri, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman




