PADAWAN, 15 Oktober: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Emperoh Jambu, Padawan, sejak 7 Oktober lalu berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada 8.47 pagi tadi selepas lapan hari tidak diketahui keberadaannya.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, berkata lelaki itu keluar sendiri dari kawasan hutan kelapa sawit berhampiran sebuah kolam ikan di hadapan rumah sepupunya di No. 18, Kampung Emperoh Jambu.
“Ketika ditemui, lelaki itu berada dalam keadaan lemah dan berkaki ayam. Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa luka kecil pada kedua-dua pergelangan kaki, selain bahagian pergelangan tangan dan lengan,” katanya.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian menggunakan kenderaan Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau turut memuji kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung yang membantu sepanjang operasi dijalankan.
“Kerjasama erat antara agensi penyelamat dengan komuniti setempat membuktikan bahawa semangat kebersamaan, keprihatinan dan tindakan bersepadu amat penting dalam menghadapi situasi kecemasan demi memastikan keselamatan serta kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.
Oleh Connie Chieng





