MARUDI : Kampung Benawa Marudi dilanda banjir ekoran limpahan air dari Sungai Baram dan Tutoh.
Ketua Kampung, Hasbie Sulaiman ketika dihubungi berkata, hujan lebat di Ulu Baram menyebabkan air di beberapa kawasan rendah di Kampung Benawa naik sehingga satu inci, semalam.
Katanya, penduduk tidak dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa dan tidak dapat keluar rumah.
Apatah lagi jelasnya, ketika ini penduduk berkurung dalam rumah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 dan pada masa yang sama di bulan Ramadan ini penduduk turut menunaikan ibadah puasa.
Katanya, keadaan terkawal dan penduduk kampung dalam keadaan berjaga-jaga dalam keadaan air bah yang tidak menentu pasang surutnya.
Justeru, Hasbie menggesa penduduk kampung supaya sentiasa berwaspada dalam keadaan banjir ketika ini dan berharap air cepat surut.