PETRA JAYA, 15 Oktober: Kebanyakan graduan di Sarawak ditawarkan kursus pengajian yang tidak boleh dipasarkan, sekali gus menjadi antara faktor menyumbang kepada pengangguran dalam kalangan lepasan institusi pengajian tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rap’ee berkata, keadaan itu berlaku apabila pelajar menerima tawaran kursus berdasarkan pilihan ketujuh atau kelapan dalam permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi melalui UPU.
“Di antara faktor yang paling penting yang kita faham setakat ini, ialah kebanyakan daripada graduan-graduan kita telah ditawarkan kursus yang tidak boleh dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Menurutnya, ketidakpadanan antara jangkaan graduan dengan peluang pekerjaan serta kelayakan akademik dengan keperluan industri turut menyumbang kepada masalah berkenaan.
Selain itu, kekurangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pengalaman kerja praktikal dan pendedahan industri, selain kelemahan kemahiran komunikasi, juga dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyukarkan graduan mendapatkan pekerjaan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Sarawak melaksanakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) dengan antara matlamatnya memastikan pembangunan tenaga kerja memenuhi keperluan industri.
“Kerana itu kita hanya menawarkan 64 kursus. Kita tidak menawarkan semua kursus, sebab kita khuatir jika kita menawarkan semua kursus, berlakunya lambakan graduan ini pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Universiti Swinburne Sarawak mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98.9 peratus, diikuti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) sebanyak 92.1 peratus.
Universiti Curtin Malaysia di Miri pula merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 85.4 peratus, manakala Kolej Universiti i-CATS mencatatkan 83.4 peratus.
Menurut Datuk Dr Annuar, kadar kebolehpasaran yang dicatatkan universiti berkenaan diharap dapat membantu mengurangkan pengangguran dalam kalangan graduan di Sarawak.
Oleh Shahrul Qaizat





