KUCHING, 14 Oktober: Kerajaan Sarawak menjangkakan sehingga 40,000 tenaga mahir dapat dilahirkan menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dalam tempoh empat tahun bagi memenuhi keperluan ekonomi dan industri masa depan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kira-kira 4,000 pelajar telah diterima mengikuti pengajian secara percuma pada semester pertama tahun ini, manakala tambahan sekitar 4,000 pelajar dijangka menerima manfaat pada semester kedua.
Menurutnya, perkembangan itu menjadikan jumlah penerima manfaat FTES dianggarkan mencecah 8,000 pelajar sepanjang 2026, dengan pengambilan baharu diteruskan pada tahun berikutnya.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak turut mengumumkan peruntukan tambahan RM200 juta bagi pelaksanaan skim berkenaan pada tahun depan, dengan komitmen kewangan dijangka meningkat apabila lebih ramai pelajar mengikuti pengajian.

Foto UKAS
“Menjelang tahun keempat, kita perlu membelanjakan RM1 bilion kerana kerajaan perlu membiayai pelajar tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat.
“Namun, kita akan mempunyai kira-kira 40,000 tenaga berkelayakan yang mampu membantu membangunkan ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Penghargaan Alumni dan Rakan Kerjasama Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak 2026, di sini, malam tadi.
Abang Johari yang juga Pro Canselor Swinburne Sarawak berkata, pelaksanaan FTES merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan negeri untuk memperkukuh pembangunan modal insan tanpa mengira latar belakang pelajar, selagi memenuhi syarat kelayakan dan diterima masuk ke universiti.
Katanya, pembiayaan yuran pengajian oleh kerajaan bukan sahaja membuka peluang pendidikan tinggi kepada lebih ramai anak Sarawak, malah membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut menyediakan bantuan wang saku kepada pelajar dengan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi membantu menampung keperluan harian sepanjang tempoh pengajian.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan pembangunan tenaga mahir amat penting ketika Sarawak meneroka teknologi baharu, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga hidrogen dan ekonomi karbon.
Menurutnya, Sarawak perlu melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi bagi memastikan negeri ini bukan sekadar menjadi pengguna, sebaliknya mampu mencipta teknologi sendiri.
“Kita mesti menjadi pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna teknologi,” tegasnya.
Beliau berkata, institusi pengajian tinggi termasuk Swinburne Sarawak memainkan peranan penting dalam menyediakan graduan yang mempunyai kepakaran bersesuaian dengan perkembangan industri dan teknologi semasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan muda memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan kerajaan dengan bersungguh-sungguh bagi membina masa depan serta menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Majlis berkenaan menghimpunkan hampir 220 alumni dan kira-kira 80 rakan kerjasama institusi, selain menyaksikan penyampaian Anugerah Industri bagi Prestasi Akademik Cemerlang kepada 10 graduan dalam pelbagai bidang pengajian.
Dua graduan, Teo Jia Ming dan Rodney Leonardo Liaw Shoon Yung turut menerima Anugerah Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), manakala Evan Wong Kuan Seng dan Nursyahida Abdul Rashid masing-masing menerima Anugerah Graduan Cemerlang dan Anugerah Graduan Cemerlang Sarawak daripada Yayasan Sarawak.
Oleh Norman B





