TANJONG MALIM, 14 Oktober: Program Dapur Siswa MADANI yang diperluas kepada politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027 diharap dapat menangani isu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berdepan kekangan kewangan sehingga menjejaskan keperluan makanan mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata peruntukan bagi inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan asas pelajar kurang berkemampuan, khususnya bagi memastikan mereka mendapat akses kepada makanan yang mencukupi.
“Datanglah (untuk mendapatkan bantuan). Kita harap masalah pelajar berlapar ini dapat diselesaikan menerusi inisiatif ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda IPT 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) merangkap Penasihat Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda IPT 2026, Prof Dr Harshita Aini Haroon.
Beliau berkata pelaksanaan Dapur Siswa disesuaikan mengikut keperluan dan kreativiti setiap institusi, termasuk menyediakan ruang untuk pelajar memasak sendiri atau menyediakan makanan secara berkumpulan untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.
Zambry berkata kerajaan tidak menetapkan sasaran khusus bagi jumlah penerima kerana keutamaan diberikan kepada usaha memastikan setiap pelajar yang memerlukan bantuan makanan dapat mengakses kemudahan berkenaan.
Beliau berkata pihaknya turut turun padang untuk meninjau keadaan serta persediaan institusi dalam memenuhi keperluan asas pelajar, selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai kepentingan menjaga kebajikan pelajar IPT.
“Sebab itu saya turun ke bawah… pergi melawat sendiri keadaan dan juga persediaan serta persiapan yang kita buat di setiap universiti,” katanya.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober mengumumkan peluasan Program Dapur Siswa MADANI ke semua politeknik dan IPG di seluruh negara menerusi peruntukan sebanyak RM20 juta.
Inisiatif itu merangkumi penyediaan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa pada harga serendah RM5. – Bernama





