PETRA JAYA, 14 Oktober: Anak Sarawak yang tidak mempunyai kredit Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih boleh menikmati Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), tetapi wajib memenuhi syarat Bahasa Kebangsaan sebelum menerima ijazah atau diploma.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, orang ramai perlu memahami bahawa syarat masuk universiti, kelayakan mendapat pendidikan percuma dan syarat menerima ijazah merupakan tiga perkara berbeza.

Menurutnya, empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak yang tertakluk kepada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), walaupun dimiliki kerajaan negeri, ialah:
- Universiti Teknologi Sarawak (UTS),
- Kolej Universiti i-CATS,
- Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dan
- Universiti Curtin Malaysia
Tambah beliau, Akta 555 tidak menetapkan kredit Bahasa Melayu SPM sebagai syarat umum untuk memasuki universiti swasta, tetapi mewajibkan pelajar yang tertakluk kepada peruntukan berkaitan memenuhi syarat Bahasa Kebangsaan sebelum menerima ijazah atau diploma.
“Untuk masuk universiti, undang-undang tidak menetapkan syarat Bahasa Melayu secara khusus, tetapi sebelum menerima ijazah atau diploma, pelajar mesti memenuhi syarat Bahasa Kebangsaan,” katanya pada sidang media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Annuar menjelaskan, terdapat tiga perkara yang perlu dibezakan bagi memahami pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES):
1. Syarat masuk universiti
- Pelajar mesti memenuhi syarat akademik yang ditetapkan oleh universiti.
- Kredit Bahasa Melayu SPM bukan syarat umum kemasukan di bawah Akta 555.
- Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) juga boleh memohon kerana kelayakan akademik itu diiktiraf kerajaan Sarawak.
2. Syarat mendapat pendidikan percuma
- Pemohon mestilah anak Sarawak.
- Diterima masuk ke salah satu daripada empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak.
- Mengikuti salah satu daripada 64 program pengajian yang ditawarkan di bawah FTES.
- Pelajar yang memenuhi syarat tersebut layak mendapat pendidikan percuma.
3. Syarat menerima ijazah atau diploma
- Pelajar yang belum memenuhi keperluan Bahasa Kebangsaan mesti mengambil mata pelajaran Bahasa Kebangsaan A di universiti.
- Mata pelajaran itu merupakan sebahagian daripada Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU).
- Pelajar mesti lulus mata pelajaran berkenaan sebelum boleh menerima ijazah atau diploma.
- Jika gagal, pelajar perlu mengulanginya sehingga lulus.
Mengulas lanjut, keperluan Bahasa Kebangsaan sebelum menerima ijazah itu ditetapkan di bawah Seksyen 41(5) Akta 555 bagi pelajar warganegara Malaysia yang tertakluk kepada peruntukan tersebut.
“Kalau tidak lulus pada tahun pertama, mereka perlu mengambilnya pada tahun kedua dan seterusnya sehingga lulus.
“Selagi tidak memenuhi syarat itu, mereka tidak boleh menerima ijazah.
“Syarat berkenaan bukan hanya melibatkan pelajar yang menerima pendidikan percuma, tetapi turut terpakai kepada pelajar lain yang tertakluk kepada undang-undang sama,” jelasnya.
Dalam pada itu, Annuar menjelaskan bahawa pengiktirafan UEC membolehkan pemegang sijil tersebut memohon kemasukan ke universiti milik Sarawak berdasarkan syarat akademik yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, pemegang UEC yang belum memenuhi syarat Bahasa Kebangsaan tetap perlu mengambil mata pelajaran berkaitan sepanjang pengajian sebelum menerima ijazah atau diploma.
“Pelajar yang sudah memenuhi syarat Bahasa Kebangsaan tidak perlu mengambil Bahasa Kebangsaan A, tetapi masih wajib melengkapkan mata pelajaran MPU lain,” tambahnya.
Menurutnya, universiti akan membantu pelajar mengikuti mata pelajaran tersebut sepanjang tempoh pengajian bagi memastikan mereka dapat memenuhi syarat sebelum bergraduasi.
“Tidak adil sekiranya pelajar yang mempunyai kelayakan akademik untuk melanjutkan pengajian dihalang memasuki universiti hanya kerana belum mempunyai kredit Bahasa Melayu SPM.
“Kita memudahkan mereka masuk universiti, tetapi pada masa sama memastikan mereka menguasai Bahasa Kebangsaan sebelum menerima ijazah,” tegasnya.
Beliau menjelaskan perkara itu susulan kekeliruan orang ramai terhadap kenyataannya pada persidangan DUN semalam bahawa Bahasa Melayu bukan syarat untuk menikmati pendidikan tinggi percuma.
Tegasnya, kenyataan tersebut merujuk kepada syarat kemasukan universiti dan bukannya bermaksud pelajar boleh mendapat ijazah tanpa memenuhi syarat Bahasa Kebangsaan.
Oleh Masrin Affirah




