KAHERAH, 14 Oktober: Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir mengumumkan penemuan cebisan dua patung diraja gergasi di Kampung Bahbit Al-Higara, Wilayah Gharbia, dengan satu daripadanya dikenal pasti sebagai Raja Ramses II manakala satu lagi dipercayai turut menggambarkan pemerintah itu, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Cebisan itu ditemukan semasa kerja ekskavasi penyelamatan yang dijalankan oleh pasukan daripada Majlis Tertinggi Antikuiti dan merangkumi satu blok granit merah jambu yang terukir dengan gelaran diraja firaun berkenaan dalam tulisan “hieroglyp”.
Menurut kementerian itu, penemuan pertama terdiri daripada bahagian kepala Ramses II setinggi 1.60 meter yang memakai Mahkota Berganda, melambangkan penyatuan Mesir Hulu dan Mesir Hilir, bersama sebahagian tiang belakang yang tertera nama Horus baginda.
Patung asal itu, termasuk tapaknya, dianggarkan mempunyai ketinggian kira-kira 8.5 meter.
Bahagian patung kedua yang masih wujud berukuran 2.40 meter manakala bahagian kaki dan tapaknya hilang. Bahagian kepala yang terpelihara dengan baik masih menampilkan ciri wajah yang jelas dan menggambarkan raja itu memakai penutup kepala diraja tradisional yang dikenali sebagai nemes.
Satu lagi blok granit merah jambu berukuran 1.30 meter turut ditemui, dengan dua inskripsi hieroglyp yang mengenal pasti Ramses II menerusi gelaran dirajanya, iaitu Nesu-Bity (Raja Mesir Hulu dan Mesir Hilir) dan Sa-Ra (Putera Ra).
Menurut kementerian itu, kerja ekskavasi arkeologi dan kajian akan diteruskan bagi menentukan sifat penemuan berkenaan serta hubung kait antara kedua-duanya, selain memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai sejarah dan perkembangan seni bina tapak itu.- Bernama-WAM





