MIRI, 13 Oktober: Seorang pelajar maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 55, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Bekenu, kira-kira 1.10 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa dipercayai sedang melintas jalan ketika sebuah kereta yang dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun dari arah Miri menuju ke Bakong merempuhnya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira 1.20 tengah hari oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Tun Abang Haji Openg Bekenu.
Menurutnya, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan, namun kenderaannya mengalami kerosakan pada bahagian hadapan kiri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Faizal Moktar, menerusi talian 012-818 6509 atau 085-430479.
Oleh Liong Chai Ling




