Pemandu wanita selamat selepas kereta terbabas ke lereng bukit di Kapit

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa selepas sebuah kereta Perodua Bezza terbabas ke lereng bukit dan tersangkut pada rumpun buluh berhampiran Hospital Kapit, petang tadi. Foto PGO

KAPIT, 12 Oktober: Seorang wanita berusia 30 tahun selamat selepas kereta Perodua Bezza dipandunya terbabas ke lereng bukit sebelum tersangkut pada rumpun buluh dalam kejadian di hadapan Hospital Kapit di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 5.42 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, komander operasi mengesahkan kemalangan jalan raya kendiri membabitkan sebuah Perodua Bezza yang terbabas ke lereng bukit sebelum tersangkut pada rumpun buluh.

KERETA Perodua Bezza yang terbabas ke lereng bukit sebelum tersangkut pada rumpun buluh dalam kejadian di hadapan Hospital Kapit, petang tadi. Foto PGO

“Terdapat seorang mangsa wanita dewasa, iaitu pemandu kenderaan, masih berada di dalam kereta namun tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba terlebih dahulu menstabilkan kenderaan menggunakan tali penyelamat sebelum mengeluarkan mangsa dengan selamat menggunakan pengusung melalui pintu penumpang hadapan.

Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil namun mengadu sakit di bahagian pinggang sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Oleh Tarani Lanting