Kemaskini: Tiga cedera, seorang parah dalam kemalangan Hilux-Bezza di Saratok

Facebook
WhatsApp
KEMALANGAN jalan raya membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Bezza di Kilometer 418.4 Lebuh Raya Pan Borneo arah Betong, berhampiran Pusingan P Simpang Saratok. Foto IPD Saratok

SARATOK, 11 Oktober: Kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Bezza di Kilometer 418.4 Lebuh Raya Pan Borneo arah Betong, berhampiran Pusingan P Simpang Saratok, pagi tadi mengakibatkan tiga individu cedera, termasuk seorang parah.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kemalangan berlaku kira-kira 10.57 pagi sebelum pihak polis menerima makluman berhubung kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berwarna putih sedang bergerak terus di lorong kiri menghala ke Betong apabila sebuah Perodua Bezza berwarna putih keluar secara tiba-tiba dari Simpang Pusingan P.

“Pemandu Toyota Hilux tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Bezza yang keluar dari simpang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran itu, pemandu Toyota Hilux berusia 60 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki, manakala pemandu Perodua Bezza berusia 77 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan.

Seorang penumpang di tempat duduk hadapan Perodua Bezza berusia 78 tahun pula mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

KETUA Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie.

Ketiga-tiga mangsa dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk, terutama pada bahagian hadapan. Toyota Hilux mengalami kerosakan pada bonet dan cermin hadapan, manakala Perodua Bezza mengalami kerosakan pada bonet, cermin hadapan serta bahagian kiri dan kanan kenderaan.

DSP Mathew berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Bezza yang keluar dari Simpang Pusingan P tanpa memberikan laluan kepada kenderaan yang bergerak terus di laluan utama.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memasuki simpang dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum memasuki laluan utama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Oleh Adi Safarman