SARATOK, 11 Oktober: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Bezza di Kilometer 418.4 Lebuh Raya Pan Borneo arah Betong, berhampiran Pusingan P Simpang Saratok, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, mangsa yang merupakan penumpang hadapan Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di Hospital Saratok selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurutnya, pihak polis menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Balai Polis Saratok, manakala siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10.57 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux berwarna putih yang bergerak terus di lorong kiri menghala ke Betong dengan sebuah Perodua Bezza berwarna putih yang keluar secara tiba-tiba dari Simpang Pusingan P,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux berusia 60 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Bezza berkenaan.
Akibat kejadian itu, pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki, manakala pemandu Perodua Bezza berusia 77 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan.
Kedua-dua pemandu serta penumpang hadapan Perodua Bezza dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, penumpang berusia 78 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Mengulas punca kejadian, DSP Mathew berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Bezza yang keluar dari Simpang Pusingan P tanpa memberikan laluan kepada kenderaan yang bergerak terus di jalan utama.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, khususnya ketika keluar dari simpang, serta memastikan keadaan selamat sebelum memasuki laluan utama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman





