MUKAH, 13 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine dalam Ops Tapis Khas di tepi jalan Sungai Meruan Dijih, Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, berkata tangkapan dilakukan kira-kira 12.00 tengah hari oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek menyerahkan sendiri kepada polis satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Dadah yang dirampas mempunyai berat kasar 0.45 gram dengan anggaran nilai RM50,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut menunjukkan keputusan positif bagi amphetamine dan methamphetamine.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku bahan disyaki dadah yang dirampas itu miliknya. Suspek turut mendakwa mula terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak Mei tahun ini.
Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau, iaitu dua kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dua kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. Kesemua kes berkenaan telah selesai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek direman selama tiga hari di lokap Balai Polis Mukah sehingga 16 Oktober 2026 bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, polis sedang mengesan sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan pihak lain dalam kegiatan berkenaan.
DSP Muhamad Rizal menegaskan bahawa Polis Daerah Mukah akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat.
Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti berkaitan dadah bagi membantu membendung kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa dalam masyarakat.
Oleh Adi Safarman




