Cuti gantian lebih jelas bantu rakyat rancang perjalanan pulang lebih teratur

Facebook
WhatsApp
WILSON Nyabong Ijang ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Cuti Umum (Pindaan), 2026, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

PETRA JAYA, 13 Oktober : Mekanisme cuti gantian yang lebih jelas penting bagi memastikan pekerja dan keluarga, khususnya penduduk luar bandar yang tinggal jauh dari tempat kerja, dapat merancang perjalanan pulang ke kampung serta rumah panjang untuk menyambut perayaan tanpa berdepan ketidakpastian jadual cuti.

Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) berkata, cuti umum bukan sekadar hari untuk berehat, malah memberi peluang kepada rakyat untuk berkumpul bersama keluarga dan memelihara tradisi budaya yang diwarisi turun-temurun.

Katanya, kepastian mengenai cuti gantian amat penting bagi penduduk di kawasan seperti Pelagus di Kapit, yang perlu menempuh perjalanan jauh melalui jalan darat dan sungai serta menanggung kos perjalanan untuk pulang ke kampung halaman.

“Bagi keluarga yang tinggal jauh dari rumah, cuti umum mungkin membawa makna peluang untuk kembali bersama insan tersayang dan memelihara tradisi yang membentuk identiti masyarakat Sarawak,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Cuti Umum (Pindaan), 2026, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menurutnya, peruntukan yang memperjelas mekanisme cuti gantian akan membantu keluarga merancang perjalanan dan sambutan perayaan dengan lebih teratur, selain memberikan kepastian kepada pekerja serta majikan.

Beliau berkata, pindaan berkenaan juga penting bagi memastikan manfaat cuti umum tidak terjejas apabila dua cuti bertindih dalam kalendar.

Sementara itu, Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek) berkata, pindaan terhadap Ordinan Cuti Umum Sarawak yang berkuat kuasa sejak 1946 itu merupakan langkah praktikal untuk memodenkan perundangan berkenaan supaya kekal relevan dengan keperluan semasa rakyat.

Beliau berkata, antara penambahbaikan utama ialah penjelasan mengenai cuti gantian apabila cuti umum jatuh pada Ahad, manakala hari Isnin berikutnya juga merupakan cuti umum.

Menurutnya, di bawah mekanisme yang dicadangkan, hari berikutnya akan diperuntukkan sebagai cuti umum gantian sekiranya hari Isnin berkenaan sudah merupakan cuti umum, melainkan ditetapkan sebaliknya melalui pemberitahuan dalam Warta oleh Yang di-Pertua Negeri.

Chieng berkata, keperluan terhadap mekanisme lebih sistematik itu dapat dilihat pada 2026 apabila Hari Wesak jatuh pada Ahad, manakala Isnin dan Selasa berikutnya sudah merupakan cuti umum sempena Hari Gawai Dayak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, aturan yang lebih jelas dapat mengurangkan kekeliruan serta memberikan kepastian kepada pekerja, keluarga, perniagaan, sekolah dan agensi kerajaan ketika merancang aktiviti masing-masing.

Beliau turut berkata, aturan cuti yang boleh dijangka membantu majikan merancang jadual tenaga kerja, waktu operasi, penghantaran dan pengeluaran, selain mengurangkan keperluan membuat perubahan pada saat akhir.

Kedua-dua wakil rakyat itu menyokong pindaan berkenaan, dengan Wilson menekankan kepentingan cuti gantian kepada penduduk luar bandar yang perlu merancang perjalanan pulang ke kampung dan rumah panjang, manakala Chieng memberi tumpuan kepada kepastian perundangan serta manfaatnya kepada pekerja, keluarga dan sektor perniagaan.

Oleh Shahrul Qaizat