LUBOK ANTU, 13 Oktober: Dua lelaki berusia lingkungan lewat 20-an dan lewat 30-an ditahan polis dalam Op Tapis Khas yang dijalankan di dua lokasi berasingan di Engkilili, semalam.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, kedua-dua lelaki itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lubok Antu kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, IPD Lubok Antu mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di kawasan masing-masing bagi membantu polis membanteras penyalahgunaan bahan terlarang itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti menyalahi undang-undang diseru supaya tampil membantu pihak polis bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman





