PETRA JAYA, 13 Oktober: Seorang lelaki berusia 32 tahun berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuching kerana didakwa mencabul kehormatan dan mencederakan seorang wanita warga China di Tebingan Kuching, Sabtu lalu.
Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira 11.00 malam apabila tertuduh didakwa meraba payudara mangsa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatannya.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan menumbuk muka wanita itu di lokasi dan pada masa yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahkamah Majistret 1 Kuching, dengan tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-duanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar wang jaminan tersebut dan diperintahkan ditahan di Penjara Puncak Borneo.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 November depan bagi pengurusan kes praperbicaraan.
Tertuduh akan menjalani proses perbicaraan bagi menentukan kesahihan pertuduhan yang dihadapinya.
Oleh Adi Safarman





