Lelaki 24 tahun ditahan, disyaki intai wanita di tandas Pejabat Kesihatan Mukah

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki warga tempatan berusia 24 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian mengintai seorang wanita di tandas tingkat dua Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah. Foto IPD Mukah

MUKAH, 13 Oktober: Seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun ditahan polis selepas disyaki mengintai seorang wanita di tandas tingkat dua Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, berkata suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada hari kejadian.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.40 tengah hari ketika mangsa, yang merupakan kakitangan pejabat berkenaan, berada di dalam tandas.

Mangsa mendakwa ternampak sebuah telefon bimbit berwarna biru muda dihulurkan dari bahagian atas dinding pemisah tandas dan dipercayai digunakan untuk merakam gambarnya.

Mangsa kemudian menjerit, menyebabkan suspek dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian.

Seorang rakan sekerja mangsa turut melihat seorang lelaki berlari menuruni tangga dalam keadaan tergesa-gesa selepas kejadian itu.

Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang buruh kontrak yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan di bangunan berkenaan.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit OPPO A5, sehelai baju lengan pendek berwarna merah dan hitam serta sehelai seluar jeans hitam untuk dijadikan barang kes.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Suspek direman selama tiga hari sehingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan dan privasi diri serta segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang perlakuan mencurigakan atau gangguan terhadap keselamatan dan maruah individu.

Oleh Adi Safarman