PETRA JAYA, 13 Oktober: Bangunan Arkib Negeri Sarawak baharu di Petra Jaya dijangka siap pada November 2026. Kemudahan itu dilengkapi sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) bagi memperkukuh usaha pemeliharaan rekod serta bahan sejarah negeri.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata bangunan seluas 25,476 meter persegi itu dilengkapi sistem ASRS yang meliputi kawasan seluas 10,000 meter persegi.
Menurutnya, sistem berkenaan direka untuk meningkatkan keselamatan penyimpanan dan memendekkan masa mendapatkan semula dokumen arkib kepada kira-kira dua hingga tiga minit.
“Pindaan ini bukannya sekadar memperluas fungsi di atas kertas, sebaliknya disokong oleh sistem dan infrastruktur konkrit yang sedang dan bakal beroperasi bagi memastikan rekod kerajaan diurus secara telus dan berakauntabiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Sistem Pengurusan Rekod Arkib (ARMS), iaitu platform dalam talian yang membolehkan orang awam dan penyelidik mencari bahan arkib serta mengemukakan permohonan untuk mengakses koleksi yang disimpan di Repositori Rekod Negeri.
“Sistem itu turut membolehkan pengguna membuat carian koleksi arkib secara dalam talian dan mengurus permohonan akses pada bila-bila masa, tertakluk kepada undang-undang, pengelasan rekod dan prosedur yang ditetapkan,” ujarnya.
Selain itu, Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama SAINS sedang membangunkan Sistem Pengurusan Serahan Wajib Bahan Terbitan (LDMS) bagi memudahkan penerimaan, perekodan, pengurusan dan pemeliharaan bahan penerbitan digital yang dihasilkan di Sarawak.
Bangunan arkib baharu itu turut dirancang untuk menempatkan kemudahan pendigitalan, makmal pemulihan dan pemprosesan bahan, ruang penyelidikan serta galeri pameran bagi memperkukuh pemeliharaan dan akses kepada warisan dokumentari Sarawak.
RUU berkenaan diluluskan sebulat suara pada peringkat Bacaan Kali Ketiga selepas dibahaskan oleh 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Oleh Adele Rissa





