Jambatan Muara Lassa menang Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan Raya 2026

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH...Jambatan Muara Lassa dinobatkan sebagai pemenang kategori Projek Berskala Besar bernilai lebih RM100 juta pada Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan Raya 2026, sekali gus mengiktiraf kecemerlangan kejuruteraan dan pembangunan infrastruktur di Sarawak. Foto JKR Sarawak

SIBU, 13 Oktober: Jambatan Muara Lassa mengharumkan nama Sarawak apabila muncul pemenang kategori Projek Berskala Besar bernilai lebih RM100 juta pada Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan Raya 2026.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pengiktirafan itu diberikan oleh Persatuan Kejuruteraan Jalan Raya Malaysia (REAM) bagi menghargai projek kejuruteraan jalan raya cemerlang yang dibangunkan di Malaysia.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sempena Persidangan dan Pameran Jalan Raya Malaysia ke-13 serta Kongres Serantau Asia Pasifik Persekutuan Jalan Raya Antarabangsa (IRF) ke-6, 2026.

Kejayaan itu turut menyerlahkan pencapaian JKR Sarawak apabila empat daripada sembilan projek yang disenarai pendek bagi anugerah berkenaan merupakan projek di bawah jabatan itu.

Selain Jambatan Muara Lassa, tiga projek lain ialah Jambatan Marudi, Jambatan Sebauh dan Jalan Akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Menurut JKR Sarawak, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen, kepakaran teknikal dan kerjasama pasukan projek, perunding, kontraktor serta rakan pelaksana dalam menyediakan infrastruktur yang menghubungkan masyarakat dan menyokong pembangunan Sarawak.

Oleh Tarani Lanting