PETRA JAYA, 13 Oktober: Pembangunan kawasan pengeluaran benih padi hibrid berhasilan tinggi seluas 143 hektar di Sungai Loba Pasi, Sarikei, melibatkan kos anggaran RM80.4 juta bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan dan memperkukuh keterjaminan makanan di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata penggunaan teknologi moden dan penghasilan benih padi hibrid tempatan merupakan antara pendekatan penting untuk meningkatkan produktiviti sektor padi negeri.
Projek itu dibangunkan menerusi kerjasama antara LCDA Agri Business Sdn. Bhd. dengan ONEMAS Agriculture Sdn. Bhd. melalui perjanjian pajakan kecil tanah milik Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bagi tempoh 20 tahun.
“Sarawak kini mempunyai tahap sara diri (SSL) beras sekitar 21 peratus dan menyasarkan peningkatan kepada sekurang-kurangnya 60 peratus menjelang 2030.
“Kita mahu meningkatkan pengeluaran padi tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap beras import. Untuk mencapai sasaran itu, kita perlu menggunakan teknologi serta pendekatan yang mampu meningkatkan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian pajakan kecil antara LCDA Agri Business Sdn. Bhd. dengan ONEMAS Agriculture Sdn. Bhd. di Bilik Jawatankuasa 1, Aras 3, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, projek itu akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh enam tahun, meliputi kerja penyediaan tanah, pembinaan infrastruktur dan sistem pengairan, operasi penanaman serta penyediaan kemudahan sokongan dan penyelidikan.
Projek berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan varieti padi hibrid Saromas yang menggabungkan varieti Louyou 8 dari Wuhan, China, dengan varieti padi tempatan.
“Melalui pembangunan varieti hibrid ini, kita berharap dapat menghasilkan benih yang mampu meningkatkan produktiviti dan menyokong usaha memperkukuh bekalan beras tempatan,” ujarnya.
Menurutnya, mekanisasi turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, termasuk kerja penyediaan tanah, penanaman, penyemburan racun menggunakan dron, penuaian dan pengeringan padi.
Katanya, penggunaan teknologi berkenaan dapat membantu memodenkan operasi pertanian, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual.
Selain meningkatkan pengeluaran padi, pembangunan sektor itu juga berpotensi membuka peluang kepada industri hiliran berasaskan tanaman berkenaan, termasuk penghasilan mihun dan produk makanan lain.
Usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memodenkan sektor pertanian, meningkatkan pengeluaran makanan tempatan serta memastikan bekalan beras yang lebih stabil dan mampan.
Oleh Adele Rissa





