KUCHING, 13 Oktober: Pembangunan pesat dan pertambahan penduduk di Batu Kawa meningkatkan keperluan terhadap kemudahan keselamatan awam, termasuk pembinaan balai bomba dan balai polis baharu di kawasan itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata kerajaan Sarawak telah menyediakan tanah bagi pembinaan kedua-dua kemudahan berkenaan dan kini menggesa Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi merealisasikan pembinaannya.
Menurutnya, penyediaan kemudahan itu penting bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah susulan pembangunan berterusan di Batu Kawa.
Beliau berkata, kawasan itu telah mengalami perubahan ketara sepanjang dekad lalu, daripada kawasan yang dahulunya lebih dikenali dengan perumahan kos rendah kepada sebuah bandar yang menarik penduduk daripada pelbagai lapisan pendapatan.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, lebih RM1.2 bilion telah dilaburkan dalam pembangunan infrastruktur di Batu Kawa, termasuk langkah mitigasi banjir, pembinaan jambatan kedua serta penambahbaikan tebing sungai.
Dr Sim berkata, pelaburan berkenaan membantu mengurangkan kejadian banjir dan meningkatkan hubungan jalan raya, manakala pembangunan sektor perumahan dan komersial terus mengubah landskap kawasan itu.
Memetik data Majlis Perbandaran Padawan (MPP), beliau berkata kira-kira 4,800 unit pangsapuri telah siap dibina di Batu Kawah, manakala 1,200 unit lagi sedang dalam pembinaan, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 6,000 unit.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur perlu disertai penyediaan kemudahan awam yang mencukupi bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi.
Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu di kawasan itu dan berharap peruntukan bagi pembinaan balai bomba serta balai polis turut diberikan.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan pembangunan Batu Kawa disokong oleh kemudahan dan perkhidmatan awam yang bersesuaian dengan keperluan penduduk.
Oleh Connie Chieng




