DEBAK, 13 Oktober: Kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira tiga meter di dalam sebuah reban ayam di Kampung Lalang, Debak, mencetuskan kebimbangan pemiliknya sebelum mendapatkan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak, petang ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 3.26 petang bagi mendapatkan bantuan menangkap reptilia berkenaan.
Menurutnya, sepasukan empat anggota APM Debak segera digerakkan ke lokasi pada 3.28 petang dan tiba lima minit kemudian untuk menjalankan operasi mencari serta menangkap ular tersebut.
“Setibanya di lokasi, anggota terus melakukan pencarian bagi mengesan kedudukan ular sawa batik yang dilaporkan berada di dalam reban ayam milik pengadu.
“Selepas beberapa minit pencarian, ular sawa batik sepanjang kira-kira tiga meter itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menjerut,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi berkenaan melibatkan Sarjan Pertahanan Awam (PA) Mohamad Yusuf Laili serta tiga anggota lain, iaitu Prebet Andrian Sumok, Prebet Sakawie Salleh dan Prebet Tina Entawan.
APM Debak turut menggunakan sebuah ambulans bersama peralatan menangkap ular bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan lancar.
Operasi yang bermula selepas menerima panggilan pada 3.26 petang itu berjaya diselesaikan pada 3.43 petang, dengan jarak perjalanan ke lokasi kira-kira tiga kilometer.
Kejadian itu menjadi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila menemui haiwan liar, khususnya ular yang memasuki kawasan kediaman atau tempat ternakan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuba menangkap atau mengendalikan ular sendiri, sebaliknya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman




