Pasangan tenggiling diselamatkan, dilepas ke Taman Negara Niah

Facebook
WhatsApp
BEBAS... Penghulu Pui Kuan Phen bersama rakannya melepaskan sepasang tenggiling ke habitat semula jadi di Taman Negara Niah.

NIAH, 13 Oktober: Sepasang tenggiling yang ditemukan terperangkap di sebuah kebun kelapa sawit di sini berjaya diselamatkan sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi di Taman Negara Niah.

Penghulu Pui Kuan Phen ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa kedua-dua haiwan berkenaan telah dilepaskan ke taman negara tersebut.

Lebih menarik, tenggiling betina dalam pasangan berkenaan dipercayai sedang bunting, sekali gus memberi harapan terhadap kelangsungan spesies hidupan liar yang semakin terancam itu.

Menurutnya, kejadian berkenaan turut mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan melindungi hidupan liar, khususnya apabila aktiviti manusia semakin meluas ke kawasan yang menjadi habitat semula jadi haiwan berkenaan.

“Tenggiling merupakan antara spesies mamalia yang berdepan ancaman kepupusan akibat pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar.

“Haiwan itu memainkan peranan penting dalam ekosistem kerana memakan semut dan anai-anai,” katanya.

Tambahnya, orang ramai diseru supaya tidak mencederakan atau mengambil tindakan sendiri terhadap hidupan liar yang ditemukan di kebun atau kawasan kediaman, sebaliknya menghubungi pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha menyelamatkan dan melepaskan semula haiwan berkenaan ke habitat yang sesuai penting bagi memastikan kelangsungan hidupan liar serta memelihara khazanah alam semula jadi Sarawak untuk generasi akan datang.

Oleh Adum Liu