PETRA JAYA, 13 Oktober: Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) turut layak dipertimbangkan untuk menikmati pendidikan tinggi percuma di Sarawak menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), dengan syarat memenuhi kelayakan akademik yang ditetapkan universiti terlibat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee memaklumkan, secara umumnya pemegang UEC perlu memperoleh sekurang-kurangnya lima gred B untuk memasuki program ijazah sarjana muda.

“Bagaimanapun, syarat kemasukan berbeza mengikut universiti dan program pengajian, dengan sesetengah bidang turut menetapkan keperluan mata pelajaran tertentu seperti Matematik, Matematik Tambahan dan Sains Fizikal.
“Kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak ditetapkan sebagai syarat wajib kemasukan bagi pemegang UEC berdasarkan syarat semasa universiti yang menyertai FTES.
“Namun, pemohon masih perlu memenuhi syarat lain termasuk penguasaan Bahasa Inggeris serta keperluan khusus program pengajian yang dipohon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan See Chee How (Bebas Batu Lintang) pada sidang Dewan Undangan Negeri, di Kompleks DUN hari ini.
Beliau mengulas lanjut, setakat Jun 2026, seramai 192 pemegang UEC dari Sarawak sudah menikmati pembiayaan yuran pengajian menerusi skim berkenaan.
“Daripada jumlah tersebut, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak mencatatkan penerima tertinggi iaitu 137 pelajar, diikuti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) seramai 33 pelajar.
“Sementara itu, Universiti Curtin Malaysia merekodkan 21 penerima, manakala Kolej Universiti i-CATS mempunyai seorang penerima,” jelasnya.
Tambah beliau, pelajar pemegang UEC di bawah FTES mempunyai peluang yang sama untuk menjalani latihan amali dan penempatan industri seperti pelajar lain tanpa mengira status UEC mereka.
Untuk rekod, UEC merupakan sijil peperiksaan yang digunakan oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina di Malaysia dan telah mendapat pengiktirafan kerajaan Sarawak sejak 2015.
Bagaimanapun, sijil berkenaan masih belum mendapat pengiktirafan umum kerajaan Persekutuan bagi tujuan kemasukan ke universiti awam, meskipun diterima oleh beberapa institusi pengajian tinggi swasta dan luar negara.
Oleh Masrin Affirah





