KUCHING, 13 Oktober: Lubok Antu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak iaitu 179, manakala 15 kawasan lain mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana setakat 12.00 tengah hari ini.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), sebanyak lima kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, termasuk Lubok Antu.
Empat kawasan lain ialah Sri Aman dengan bacaan 167, diikuti Serian (155), Belaga (116) dan Tebedu (111).
Sementara itu, Samarahan mencatatkan bacaan IPU 96, diikuti Kapit (94), Bintulu (93), Samalaju (87) dan Kuching (85), yang kesemuanya berada pada tahap sederhana.
Sarikei dan Kanowit masing-masing merekodkan bacaan 81, manakala Lawas (79), Lundu (75), Miri (74), ILP Miri (71) serta Bario (70).
Bacaan sederhana turut direkodkan di Sibu (67), Mukah (63) dan Limbang (60), yang merupakan kawasan dengan bacaan IPU terendah setakat tengah hari ini.
Bagaimanapun, tiada data terkini direkodkan bagi stesen pemantauan kualiti udara bergerak (MCAQM) di Betong.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 51 hingga 100 diklasifikasikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Kualiti udara pada tahap tidak sihat boleh menjejaskan kesihatan, khususnya golongan berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru.
Setakat 12.00 tengah hari ini, tiada kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.





