PETRA JAYA, 13 Oktober: Sebanyak 1,059 permohonan cadangan pewujudan jawatan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari seluruh Sarawak sedang melalui proses penilaian dan penelitian lanjut sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, permohonan itu termasuk cadangan bagi beberapa kawasan di Daerah Lundu yang diteliti berdasarkan keperluan serta syarat umum pewujudan jawatan baharu KMKK.
Perkara itu dimaklumkan ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan, mengenai status permohonan jawatan baharu Ketua Masyarakat (Penghulu) bagi Zon Melayu Sematan yang dikemukakan pada 2021 melalui Pejabat Daerah Lundu.

Permohonan itu dibuat berikutan jumlah kampung di bawah seliaan penghulu sedia ada yang terlalu banyak.
Menjawab soalan tambahan, Jefferson berkata, ketika ini terdapat 7,710 jawatan KMKK rasmi di seluruh Sarawak, merangkumi 671 jawatan Ketua Masyarakat dan 7,039 jawatan Ketua Kaum.
Daripada jumlah itu, sebanyak 641 jawatan KMKK berada di Bahagian Kuching, termasuk 129 jawatan di Daerah Lundu.
Beliau berkata, antara kriteria yang dipertimbangkan bagi pewujudan jawatan baharu KMKK ialah pertambahan bilangan penduduk, jumlah penempatan, keluasan bidang kuasa dan faktor lain yang berkaitan.
Bagi jawatan Penghulu, penetapan dibuat berdasarkan pembahagian kawasan pentadbiran atau zon yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Melantik, dengan syarat minimum 20 Tuai Rumah bagi kaum Iban, dua Ketua Kaum bagi kaum lain, 500 pintu atau 2,000 penduduk.
Sementara itu, pewujudan jawatan Ketua Kaum memerlukan sesebuah kampung, rumah panjang atau kawasan penempatan mempunyai sekurang-kurangnya 20 pintu atau rumah.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan pada sidang DUN Sarawak Ke-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Oleh Shikin Mahmud




