KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Pantai Damai turut tidak ketinggalan membantu golongan kurang berkemampuan menerusi Program SABERKAS Prihatin.
Dengan memfokuskan kepada keluarga kurangan berkemampuan, SABERKAS Cawangan Pantai Damai mengambil inisiatif dengan menghulurkan bantuan lampin pakai buang, susu dan makanan asas kepada kanak-kanak serta warga emas yang memerlukan.
Timbalan Presiden SABERKAS, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program tersebut merupakan inisiatif golongan belia dan ia membuktikan generasi muda juga prihatin kepada masyarakat.
“Disebalik kesukaran banyak pihak semasa pandemik Covid-19, SABERKAS Cawangan Pantai Damai yang diterajui kepimpinan muda mengambil inisiatif untuk membantu golongan kurang berkemampuan.
“Kita memuji usaha ini dan ia menunjukkan anak muda juga mahu menyumbang kepada masyarakat dalam situasi sukar sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan simbolik penyerahan kepada wakil SABERKAS unit dalam kawasan Pantai Damai, semalam.
Dr Abdul Rahman menjelaskan, sejak dari awal penubuhannya, SABERKAS merupakan platform terbaik untuk golongan belia berbakti kepada masyarakat.
“Walaupun kepimpinan SABERKAS sudah bertukar namun perjuangannya adalah tetap sama untuk memastikan anak muda dapat terlibat dengan masyarakat,” ujarnya.
Bukan itu sahaja menurutnya, SABERKAS juga telah berjaya melahirkan ramai pemimpin termasuk dalam kalangan kabinet kerajaan Sarawak. “Kita dapat saksikan sekarang, ramai dalam kalangan ahli kabinet kerajaan Sarawak lahir daripada SABERKAS,” jelasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN