KUALA LUMPUR, 12 Oktober: Penetapan gaji minimum RM2,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 telah dipersetujui oleh Majlis Perundingan Gaji Negara, yang turut dianggotai wakil pekerja dan majikan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata di peringkat jemaah menteri pula pertimbangan diberikan supaya tempoh masa yang lebih panjang diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar tidak membebankan mereka.
“Jumlah gaji minimum itu tidak dipertikaikan dan telah dipersetujui. Kita akan mulakan dengan syarikat besar dulu sebab kita memahami bahawa syarikat PMKS juga antara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat, yang mungkin memerlukan lebih masa untuk membuat penyesuaian model perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi debat selepas Belanjawan 2027 yang dianjurkan Persatuan Ekonomi Malaysia hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat lepas mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 sebulan daripada RM1,700 mulai Jun 2027, membabitkan lebih empat juta pekerja.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan bahawa PMKS dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan sementara daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu tersebut.
Mengenai pengurusan risiko kenaikan subsidi tahun depan sambil mengekalkan sasaran defisit fiskal 3.3 peratus, Johan berkata kerajaan akan memberi penekanan kepada usaha mengekalkan keyakinan pelabur bagi menunjukkan bahawa Malaysia dapat melaksanakan pengurusan kewangan yang berdisiplin.
“Kita masih berpegang kepada komitmen yang dibuat di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) supaya kita dapat mencapai defisit fiskal serendah tiga peratus menjelang 2028.
“Dengan itu, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, kita sasarkan 3.6 peratus tahun ini dan 3.3 peratus tahun depan. Jadi, kita berada pada landasan untuk mencapai tiga peratus,” katanya.
Pada masa yang sama, Johan berkata kerajaan turut mengakui ketidaktentuan keadaan di Asia Barat dan mengambil kira unjuran bahawa harga minyak akan kekal tinggi pada paras semasa.
“Kita anggarkan subsidi produk petroleum tahun ini sekitar RM40 bilion. Tetapi seperti yang telah dilaksanakan pada tahun ini, apabila harga minyak lebih tinggi daripada yang dijangkakan, kita akan membuat penyesuaian mengikut keadaan,” katanya. – Bernama





