KOTA SENTOSA, 12 Oktober: Penduduk Kota Sentosa menikmati manfaat langsung daripada Belanjawan Sarawak 2027, khususnya menerusi usaha meringankan beban kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan bergaji lebih baik dan menambah baik kemudahan infrastruktur bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, berkata peruntukan pembangunan sebanyak RM10.098 bilion serta peruntukan RM650 juta bagi menangani kos sara hidup dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial perlu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.
Menurutnya, langkah itu penting bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah, golongan rentan dan keluarga yang berdepan tekanan perbelanjaan harian, terutama melibatkan makanan, pengangkutan, perumahan dan pendidikan.
“Fokusnya tidak seharusnya terhad kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata. Ia mesti mewujudkan pekerjaan bergaji lebih baik, perniagaan yang lebih kukuh, peluang yang lebih luas dan kualiti hidup yang lebih baik untuk setiap rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan berhubung Belanjawan Sarawak 2027.
Yap berkata pertumbuhan ekonomi negeri juga perlu membuka lebih banyak peluang kepada penduduk setempat, termasuk golongan pekerja, profesional, peniaga dan belia, untuk menikmati manfaat daripada perkembangan industri baharu.
Katanya, pelaburan dalam industri bernilai tinggi, agroindustri mampan berasaskan teknologi, industri strategik serta pembangunan gas rendah karbon berpotensi memperluas asas ekonomi Sarawak dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Beliau turut menyambut baik cadangan penyediaan kemudahan pinjaman mudah berjumlah RM25 juta masing-masing untuk perusahaan yang diterajui wanita dan usahawan muda.
Menurutnya, akses pembiayaan yang lebih baik dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana mengembangkan operasi, melaksanakan pendigitalan serta meneroka pasaran baharu, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pewujudan pekerjaan.
Dalam aspek pendidikan, Yap menyifatkan peruntukan RM200 juta bagi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) sebagai pelaburan penting untuk memastikan golongan muda mendapat akses kepada pendidikan tinggi dan kemahiran yang diperlukan oleh industri.
Beliau berkata pembangunan pendidikan dan kemahiran perlu seiring dengan perubahan ekonomi supaya anak tempatan lebih bersedia merebut peluang pekerjaan yang tersedia.
Bagi pembangunan setempat, Yap berkata perhatian berterusan perlu diberikan kepada keperluan bandar Kota Sentosa, termasuk penambahbaikan jalan raya, sistem perparitan, langkah mitigasi banjir, kemudahan awam, pasar dan infrastruktur kejiranan.
Beliau berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan untuk mengetengahkan isu tempatan serta memastikan keperluan masyarakat diberikan perhatian.
Yap turut menegaskan bahawa pelaksanaan belanjawan secara berkesan, disokong tadbir urus kewangan yang kukuh dan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta serta masyarakat, penting bagi memastikan peruntukan yang diumumkan membawa hasil yang boleh dirasai rakyat.
“Sebagai wakil GPS, tanggungjawab kita adalah menterjemahkan aspirasi pembangunan Sarawak kepada kemajuan yang bermakna untuk rakyat seperti mewujudkan pekerjaan yang lebih baik, memperkasa perniagaan tempatan, menyokong keluarga dan memperkukuh asas ke arah Sarawak yang lebih makmur,” katanya.
Oleh Connie Chieng





