Sekolah Sri Aman cemerlang dalam Anugerah Pendidikan Digital Sarawak 2026

Facebook
WhatsApp
WARGA pendidikan Daerah Sri Aman meraikan kejayaan dalam Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak. Foto: PPD Sri Aman

KOTA SAMARAHAN, 10 Oktober: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Samarahan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, kelmarin.

Pencapaian itu membuktikan komitmen warga pendidikan di daerah berkenaan dalam memperkasakan penggunaan teknologi digital, selain melahirkan murid yang kreatif, berpengetahuan serta memiliki kemahiran digital sejajar dengan perkembangan pendidikan masa kini.

Antara pencapaian paling menyerlah ialah kejayaan Sekolah Menengah (SMK) Melugu yang merangkul Johan Penyunting TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) Terbaik Kategori Sekolah Menengah menerusi muridnya, Twister Mesa, dengan bimbingan Martin Engkamat Lawrin dan Mary Lementan Bhoo.

SMK Melugu turut mencatat beberapa lagi kejayaan apabila Cleopatra Nala Franklin Abang meraih Tempat Ketiga Skrip TVPSS Kategori Sekolah Menengah, manakala Dallister Flin Ambrose Jawi memperoleh Tempat Ketiga Pengarah TVPSS Terbaik.

Sekolah itu sekali lagi mengukuhkan pencapaiannya menerusi Tempat Ketiga Video TVPSS Kategori Sekolah Menengah yang disertai Dallister Flin Ambrose Jawi, Cleopatra Nala Franklin Abang, Carl Hillary Clinton Jabing, Twister Mesa dan Walter Lidam Dumy, dengan bimbingan Martin Engkamat Lawrin.

Dalam kategori Pembaca Bestari, SMK Sri Aman meraih Naib Johan Pembaca Bestari Kategori Sekolah Menengah Bahasa Melayu menerusi Awangku Saeed Muhamad Azimbin Awangku Nor Azman, di bawah bimbingan Rafidah Akil Ali.

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Simanggang memperoleh Tempat Kelima Pembaca Bestari Kategori Sekolah Rendah Bahasa Inggeris menerusi Ethan Kiu Xia En, dengan bimbingan Ann Law Mao Ai.

Pengiktirafan turut diberikan kepada Christine Power Nyelang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing, Sri Aman, yang menerima Anugerah Ikon Guru Peneraju Generasi Digital (GPGD) atas sumbangannya dalam memperkasa pendidikan digital.

SMK Saint Luke pula mencatat pencapaian menerusi kategori Digital Competency Score (DCS), apabila Tan Syia Chuan diiktiraf dalam kategori murid Tingkatan Tiga, manakala Stancy Ngu Shi Ying bagi kategori murid Tingkatan Lima. Kedua-duanya diselaraskan oleh Nor Azman Tamit.

Selain itu, SMK Saint Luke turut menerima pengiktirafan Digital Competency Score Kategori Sekolah Menengah, dengan Pengetua Limok Shen mewakili kepimpinan sekolah dalam usaha memperkukuh kompetensi digital.

Kejayaan yang diraih itu merupakan hasil usaha berterusan murid, guru pembimbing, guru penyelaras dan pentadbir sekolah, selain sokongan ibu bapa serta seluruh warga pendidikan yang memainkan peranan penting dalam membina ekosistem pembelajaran digital yang berkesan.

Pencapaian tersebut bukan sahaja mengharumkan nama sekolah masing-masing, malah menjadi bukti bahawa penggunaan teknologi secara kreatif dan berkesan mampu membuka ruang kepada murid untuk mengembangkan bakat, meningkatkan keyakinan diri serta mengasah kemahiran komunikasi dan penghasilan kandungan digital.

Kejayaan itu diharap menjadi pemangkin kepada sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman untuk terus memperluas penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, sekali gus membudayakan inovasi serta melahirkan generasi celik digital yang mampu bersaing di peringkat negeri dan seterusnya.

Oleh Adi Safarman