Bengkel Sape tarik penyertaan 50 peserta sempena Kamus UPMS 2026

Facebook
WhatsApp
KELAS PRAKTIKAL...Pelajar dilihat diberi peluang mencuba sendiri cara memainkan pelbagai jenis sape dalam sesi praktikal bengkel sape.

BINTULU, 10 Oktober: Seramai 50 peserta menyertai Bengkel Sape sempena Karnival Muzik dan Sukan (Kamus) UPMS 2026 edisi ketiga bagi memperkenalkan alat muzik tradisional itu kepada masyarakat, mengasah bakat peserta serta memastikan warisan muzik berkenaan terus dipelihara oleh generasi akan datang.

Bengkel yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu merupakan kali kedua dianjurkan sempena Kamus, dengan penyertaan terdiri daripada pelajar UPMS, pelajar institusi lain dan komuniti luar.

Penyelaras bengkel, Philip Jimbun Ilin berkata, sambutan terhadap penganjuran tahun ini amat memuaskan, khususnya dari segi penyertaan pelajar yang lebih ramai berbanding edisi sebelumnya.

“Pada tahun lepas, ramai peserta daripada komuniti luar turut menyertai bengkel ini. Namun, pada tahun ini, kita dapat melihat penyertaan pelajar yang amat memuaskan, termasuk daripada institusi lain,” katanya.

Menurut beliau, bengkel itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan sape kepada masyarakat dengan lebih meluas, malah membuka peluang kepada komuniti luar untuk mempelajari seni muzik tradisional berkenaan.

MORNI Ismail membuat persembahan memainkan alat muzik tradisional sape sebelum sesi Bengkel Sape Kamus UPMS 2026 tamat.

Beliau berkata, penyertaan daripada pelbagai latar belakang turut memberi peluang kepada pelajar dan komuniti luar untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman serta mengeratkan hubungan melalui minat yang sama terhadap muzik tradisional.

Daripada keseluruhan 50 peserta, seramai 20 orang terdiri daripada peserta luar.

Berbanding penganjuran terdahulu yang turut menerima penyertaan orang awam, edisi kali ini menyaksikan penglibatan lebih ramai pelajar, termasuk dari institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta UPMS sendiri.

Penyertaan golongan muda itu penting bagi memastikan seni muzik yang sinonim dengan masyarakat Orang Ulu terus dipelihara dan diwarisi, khususnya dalam kalangan generasi muda yang turut terdedah kepada pelbagai genre muzik moden.

Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada sejarah dan latar belakang sape, pengenalan kepada bahagian alat muzik itu serta teknik asas memegang dan menalanya.

RAKAM kenangan bersama para peserta Bengkel Sape Kamus UPMS 2026 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), hari ini.

Peserta turut menjalani latihan praktikal yang merangkumi pergerakan jari, teknik memetik melodi dan corak petikan irama untuk mengiringi lagu asas, dengan bimbingan penceramah, Morni Ismail.

Kamus UPMS 2026 edisi ketiga berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Karnival itu bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada golongan belia serta mahasiswa untuk menonjolkan bakat dalam bidang muzik, kebudayaan dan sukan, selain mengeratkan hubungan antara warga universiti dengan komuniti luar.

Oleh Faizah Muzidi