Wanita luka di kepala selepas Axia terlibat kemalangan dengan lori sampah

Facebook
WhatsApp
PERODUA Axia yang dinaiki seorang wanita terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori sampah di simpang Taman Seroja Indah, Saratok. Foto APM Saratok

SARATOK, 10 Oktober: Seorang wanita mengalami luka terbuka di bahagian kepala dan calar pada lengan kiri selepas kereta Perodua Axia yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori sampah di simpang Taman Seroja Indah, di sini, semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 8.25 pagi sebelum menggerakkan empat anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan APM tiba di lokasi pada 8.34 pagi dan mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah Perodua Axia dan sebuah lori sampah.

“Mangsa merupakan seorang wanita dewasa yang sedar, namun mengalami luka terbuka kira-kira lapan sentimeter di bahagian kiri kepala serta calar pada lengan kiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebelum operasi menyelamat dijalankan, ketua skuad terlebih dahulu memastikan semua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat.

Katanya, mangsa diberikan rawatan awal di dalam ambulans dengan luka di kepala dibalut menggunakan pembalut gulung bagi membantu mengawal pendarahan sebelum dibawa ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa tiba di hospital pada 8.55 pagi, manakala operasi APM ditamatkan pada 9.01 pagi.

Operasi berkenaan melibatkan empat anggota APM Daerah Saratok dengan menggunakan sebuah ambulans dan beg perubatan bagi memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa.

APM turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya ketika menghampiri simpang, serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Oleh Adi Safarman