Autonomi pendidikan Sarawak perlu diperkasa susulan isu jerebu

Facebook
WhatsApp
KETUA Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kevin Lau Kor Jie

SIBU,10 Oktober: Isu jerebu yang menjejaskan Sarawak membuktikan keperluan memberikan autonomi pendidikan lebih besar kepada negeri ini bagi membolehkan keputusan berkaitan keselamatan murid dan guru dibuat dengan lebih cepat.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kevin Lau Kor Jie berkata, Sarawak mempunyai realiti geografi, cabaran alam sekitar dan keadaan setempat yang tersendiri, memerlukan kuasa lebih besar untuk menentukan tindakan bersesuaian mengikut situasi semasa.

Menurutnya, keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) menurunkan ambang Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi penutupan sekolah daripada 200 kepada 180 wajar dialu-alukan, namun masa pelaksanaannya menimbulkan persoalan sama ada Sarawak menerima perhatian dan tindakan segera yang sama ketika jerebu mula melanda negeri ini.

“Keselamatan murid, guru dan kakitangan sekolah tidak seharusnya bergantung pada wilayah yang terjejas kerana isu kesihatan awam memerlukan tindakan segera dan konsisten tanpa mengira lokasi.

“Kami menggesa KPM memastikan keputusan berkaitan penutupan sekolah berpandukan bukti saintifik, pertimbangan kesihatan awam dan piawaian kebangsaan yang jelas, bukannya dilihat sebagai tindakan reaktif terhadap perkembangan di wilayah tertentu,” katanya dalam kenyataan media.

Lau berkata, pencemaran jerebu membawa risiko kesihatan serius, khususnya kepada kanak-kanak dan individu yang terdedah kepada udara tidak sihat untuk tempoh berpanjangan, justeru langkah pencegahan perlu dilaksanakan segera bagi melindungi warga sekolah.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) juga harus diberikan peranan sewajarnya dalam membantu mempercepat keputusan berkaitan keselamatan sekolah ketika episod jerebu dan kecemasan lain, dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa pendidikan berkaitan,” ujarnya.

Katanya, autonomi pendidikan bukan bertujuan memisahkan Sarawak daripada sistem pendidikan kebangsaan, sebaliknya memastikan keputusan yang memberi kesan kepada negeri ini dibuat pada peringkat yang paling memahami keadaan setempat dan mampu bertindak dengan berkesan.

“Sarawak perlu diberikan kuasa dan fleksibiliti yang mencukupi untuk bertindak apabila keadaan memerlukan campur tangan segera, dengan setiap keputusan kekal berasaskan bukti saintifik, pertimbangan kesihatan awam dan kepentingan terbaik murid serta guru,” katanya.

Menurutnya, pendekatan membuat keputusan yang disokong penyelarasan berkesan antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan dapat memastikan keperluan rakyat negeri ini diberikan perhatian sewajarnya pada masa yang tepat.

“Usaha memperjuangkan autonomi pendidikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan nyata, khususnya dalam memastikan keselamatan kanak-kanak dan membolehkan keputusan dibuat dengan segera demi kepentingan mereka,” tegasnya.

Oleh Akun Giman