KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Peruntukan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion di bawah Belanjawan 2027.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan bagi Sekolah Kebangsaan (SK) meningkat kepada RM900 juta, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kepada RM100 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) kepada RM50 juta.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun jumlah murid SJKT relatifnya lebih kecil, keadaan prasarana sekolah yang daif menuntut perhatian segera.
“Peruntukan bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) naik kepada RM200 juta. Skop peruntukan ini akan diperluas untuk meliputi bantuan operasi institusi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Anwar berkata hampir RM1.3 bilion disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata sebanyak 3,500 bilik darjah tambahan dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini melalui kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menampung pertambahan murid Tahun Satu.
Beliau berkata hampir 500,000 murid dijangka memasuki Tahun Satu tahun hadapan, termasuk lebih 70,000 yang berusia enam tahun.
Anwar berkata kerajaan turut akan membina sekolah baharu, bangunan prasekolah serta kemudahan di sekolah sedia ada, antaranya SK Seri Chemor di Ipoh, Perak dan Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang, Selangor.
Beliau berkata projek lain merangkumi pembinaan gantian penuh SJKT Ladang Pamol di Kluang, Johor; SJKC Bandar Mahkota Cheras serta bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau, Sabah.
Sebuah kolej matrikulasi baharu juga sedang dibina di Marang, Terengganu, katanya.
Bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pembentukan persekitaran sekolah berkualiti, Anwar berkata Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah akan ditambah baik supaya sumbangan sukarela ibu bapa, alumni dan masyarakat boleh digunakan untuk operasi sekolah, pembaikan kemudahan, pembelian peralatan serta program murid.
Beliau berkata sumbangan tunai kepada tabung itu layak mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat.- Bernama





